Sosiologi dapat ditakrifkan sebagai kajian saintifik mengenai masyarakat manusia dan interaksi sosial (Tischler, 2011) Menurut Openstax, 2017, sosiologi ialah kajian tentang kumpulan dan interaksi kumpulan, masyarakat dan interaksi sosial dari kumpulan kecil dan peribadi kepada kumpulan yang sangat besar. Sosiologi juga dapat didefinisikan sebagai kajian ilmiah tentang tingkah laku sosial dan kumpulan manusia yang memberi tumpuan kepada hubungan sosial seperti bagaimana hubungan tersebut mempengaruhi tingkah laku manusia dan bagaimana masyarakat berkembang dan berubah (Schaefer, 2017). Sosiologi pendidikan memberi tumpuan kepada faktor-faktor sosial yang menyebabkan dan disebabkan oleh pendidikan. Ini termasuk kajian faktor-faktor berkaitan dengan pendidikan seperti jantina, kelas sosial, bangsa dan etnik dan kediaman luar-luar bandar (Saha, 2015)
Terdapat tiga teori utama sosiologi iaitu Teori Interaksionisme Simbolik, Teori Konflik dan juga Teori Fungsionalisme. Teori Fungsionalisme dipelopori oleh Auguste Comte pada tahun 1798-1857. Teori ini menekankan persefahaman ahli masyarakat untuk mencapai keharmonian dan kestabilan. Masyarakat dianggap seperti tubuh badan yang mempunyai bahagian dengan fungsi tersendiri. Dalam teori ini fungsi yang dimainkan oleh bidang pendidikan adalah untuk memenuhi kepelbagaian keperluan masyarakat. Sebagai contoh, dari segi sosialisasi pelajar dapat mempelajari kemahiran yang sesuai untuk berfungsi dalam masyarakat. Dari segi integrasi sosial pula, pelajar dapat mempelajari nilai yang sama untuk keharmonian bersosialisasi. Dan akhir sekali dari segi penempatan sosial pula, pelajar diajar untuk mengikut tahap kecerdasan untuk keperluan hidup kelak.
Seterusnya ialah Teori Konflik. Teori konflik dipelopori oleh Karl Marx (1818-1883). Dalam teori ini asas kepada pembentukan masyarakat terdiri daripada faktor-faktor ekonomi seperti tanah, modal, industri dan perdagangan. Konflik dalam masyarakat menyumbang kepada perubahan sosial. Konflik tersebut bukan disebabkan oleh faktor ekonomi semata-mata tetapi mungkin disebabkan agar dipandang tinggi oleh masyarakat. Implikasi teori ini kepada bidang pendidikan ialah pendidikan dapat mewujudkan ketidaksamaan sosial dalam masyarakat. Tambahan lagi, sekolah yang berbeza dari segi sumber, kualiti guru, kualiti pentadbir, persekitaran dan pembelajaran juga dapat menyumbang kepada ketidaksamaan sosial dalam masyarakat. Pengelasan pelajar kepada pandai dan lemah, pelajar pandai akan ditempatkan ke dalam laluan yang berbeza dengan pelajar yang lemah.
Akhir sekali ialah teori interaksi sosial yang dipelopori oleh George Herbert Mead (1863-1931). Teori ini mengkaji makna yang muncul dari interaksi timbal balik individu dalam persekitaran sosial dengan individu lain. Teori ini juga menumpukan kepada persoalan simbol dan makna yang muncul daripada interaksi antara manusia. Implikasi daripada teori ini ialah dapat mengkaji tentang interaksi sosial yang berlaku di sekolah misalnya di bilik darjah, kawasan permainan dan sebagainya. Sebagai contoh, pelajar perempuan cenderung kepada permainan bercorak kerjasama manakala pelajar lelaki cenderung kepada permainan bercorak pertandingan. Selain itu, contohnya lagi ialah tanggapan guru terhadap murid mempengaruhi pembelajaran murid dan guru lebih banyak memuji murid lelaki berbanding dengan murid perempuan.
Kesimpulannya, sosiologi melibatkan manusia. Oleh itu, skop kajian ini snagatlah luas. Pendidikan pula dikelilingi dengan unsur kemanusiaan dan pendidik harus tahu peranan mereka dalam dunia sosial. Masyarakat sangat berkait rapat dengan sosiologi. Oleh itu, pendidikan dan sosiologi adalah satu perkara yang sangat berkait rapat anatar satu sama lain.
Sumber rujukan yang dirujuk :
Drs. Selvie M. Tumengkol, (2012) Teori Sosiologi Suatu Perspektif Tentang Teori Konflik Dalam Masyarakat Industri Universiti Sam Ratulangi.
No comments:
Post a Comment