Pengurusan Penasihatan Murid ini secara keseluruhannya terdiri daripada 3 komponen utama iaitu bimbingan, penasihatan dan mentoring. Pengurusan bermaksud satu proses sosial yang dibentuk dan disusun bagi mewujudkan kerjasama, penyertaan, penglibatan ahli-ahli dalam sesebuah organisasi untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan. Penasihatan pula ditakrifkan sebagai ajaran, petunjuk yang baik, peringatan, menyusulkan, mengesyorkan ataupun menganjurkan kepada seseorang tentang sesuatu perkara. Mentoring pula membawa maksud proses menolong yang berlaku antara individu yang berpengalaman dalam satu aspek dengan individu yang lebih muda dalam aspek berkenaan bagi mencapai objektif yang telah digariskan dan juga merupakan kemudahan yang diberikan kepada pelajar dalam menguruskan kehidupan mereka di sekolah.
Proses bimbingan dan penasihatan terbahagi kepada lima fasa. Fasa yang pertama merupakan fasa kesedaran guru sebagai pembimbing dan penasihat pelajar. Dalam fasa ini, penekanan haruslah diberikan kepada guru yang mengajar pelajar kerana mereka lebih rapat dan arif mengenai pelajar-pelajar mereka berbanding guru yang tidak mengajar. Mereka perlu disedarkan tentang kepentingan perkhidmatan bimbingan dan penasihatan sebagai pengelola dan sumber rujukan pelajar. Bagi fasa kedua ialah menguasai kemahiran-kemahiran asas bimbingan dan penasihatan. Antara kemahiran-kemahiran yang terlibat ialah kemahiran perkembangan personaliti, kemahiran melayan dan kemahiran mendengar, kemahiran lisan dan bukan lisan, kemahiran mengenal pasti pelajar yang bermasalah dan kemahiran asas teori dan teknik kaunseling dalam proses menolong. Penguasaan kemahiran-kemahiran ini boleh dijalankan secara berperingkat dan merupakan asas menjadi guru pembimbing yang berkesan.
Bagi fasa ketiga pula ialah proses mengenali pelajar. Pelajar yang memerlukan bimbingan ini dapat dibahagikan kepada pelajar yang datang secara sukarela, pelajar yang di bawah pemerhatian dan pelajar yang dikenalpasti sendiri oleh guru-guru sebagai memerlukan bimbingan melalui pemerhatian dan diagnosis. Antara teknik atau kaedah yang boleh digunakan oleh guru untuk tujuan mengumpul maklumat tentang pelajar yang menerima perkhidmatan bimbingan ini ialah teknik ujian, temubual, soal selidik. teknik sosiometrik, teknik skala pemeringkatan, teknik autobiografi dan rekod kesihatan.
Seterusnya, fasa yang keempat pula mengenai proses membimbing pelajar yang secara khususnya pelajar akan dibimbing melalui tiga cara iaitu menjalankan bimbingan secara individu, bimbingan secara kelompok dan juga konsultansi yang melibatkan ibu bapa. Hal ini dapat membantu pelajar menyelesaikan masalah mereka ataupun sebagai seorang guru kita memberi cadangan bagi pelajar untuk menyelesaikan masalah mereka. Fasa yang terakhir ialah analisis penilaian. Fasa ini melihat keberkesanan perhubungan bimbingan dan penasihatan yang dilaksnakan. Hasil analisis ke atas pelajar dibahagikan kepada dua kategori iaitu berjaya dibimbing atau tidak berjaya dibimbing. Keputusan dari fasa ini akan dijalankan ke dalam fasa berikutnya jika perlu.
Bimbingan, penasihhatan, dan mentoring merupakan kaedah-kaedah yang boleh digunakan untuk membantu murid-murid dalam aspek pembelajaran dalam kehidupan. Langkah yang berbeza ini bertepatan kerana setiap individu mempunyai masalah konflik fan matlamat tersediri. Cara pendekatan yang berbeza ke atas setiap murid harus diwujudkan agar mereka menyedari kewujudan pihak lain yang mengambil berat tentang mereka.
Sumber Rujukan :
https://hasyamocha.wordpress.com/2020/07/18/pengurusan-penasihatan-murid/
No comments:
Post a Comment