Topik 5 Pengurusan Murid

 


       Menurut Jaafar Muhammad (1998) mendefinisikan bahawa pengurusan sebagai satu proses yang digunakan untuk mengagihkan input-input organisasi dengan cara perancangan, pengorganisasian, pengarahan dan pengawalan. Hal ini bertujuan untuk mengeluarkan output (perkhidmatan) yang diperlukam oleh pelanggan supaya objektif organisasi dapat dicapai. Pengajaran pula adalah suatu aktiviti yang dapat mengubah tingkah laku, sikap, atau kepercayaan murid-murid terhadap sesuatu perkara yang dipelajarinya. Hal ini berlaku apabila berlakunya proses pembelajaran maka terhasilnya pengajaran dalam diri seseorang itu. Oleh yang demikian tanpa pembelajaran, pengajaran tidak akan dapat diwujudkan dan segala pengajaran haruslah tertumpu kepada kepada pembelajaran murid-murid.

         Kesediaan pelajar ini merangkumi aspek kognitif, afektif dan psikomotor yang berbeza antara setiap murid. Kesediaan belajar dari aspek kognitif bermaksud kesediaan mental seseorang untuk memahami, memikir dan menaakul dalam keadaan pembelajaran yang baru. Kognitif adalah satu proses mental mengubah input sensori kepada bentuk yang lebih bermakna dengan merekod, menyimpan dan menggunakan semula maklumat yang sedia ada. Hal ini jelas kita lihat apabila seseorang individu menggunakan maklumat yang sedia ada dalam persekitarannya dan mengaplikasikan ingatannya dalam membuat keputusan. Contohnya, murid-murid sekolah rendah bersedia untuk belajar operasi konkrit apabila mereka masuk ke sekolah menengah dan bersedia untuk belajar operasi yang kompleks. Maksudnya, seseorang pelajar telah bersedia dari segi kognitifnya apabila pencapaian ilmiahnya setimpal dengan usaha dan latihan yang diperlukannya.

       Kesediaan afektif pula adalah dari segi keinginan, semangat, ketekunan, perasaan dan minat seseorang untuk melaksanakan aktiviti pembelajaran. Hal ini dapat ditunjukkan melalui perlakuan iaitu sikap kesedaran, minat, prihatin dan bertanggungjawab murid tersebut dalam kesungguhannya melaksanakan aktiviti pembelajaran yang diberi oleh guru. Contohnya, Nazri meminati subjek Sains kerana menyukai aktiviti eksperimen. Oleh itu, melalui kesediaan afektif ini, murid-murid dapat meningkatkan pembelajaran, minat, dan juga persaingan yang sihat dalam kalangan mereka sekali gus dapat memotivasikan murid-murid dengan menganggap pembelajaran adalah suatu bidang yang menyeronokkan dan memberikan suatu kepuasan kepada diri mereka. Mengikut hukum Thorndike (1913), apabila seseorang itu bersedia untuk melakukan tindakan, maka tindakan itu dapat memberikan kepuasan kepadanya. Sekiranya dia tidak melakukannya, akan menimbulkan perasaan dukacita dan jika dia terpaksa melakukannya maka pembelajaran yang terhasil menjadi tidak sempurna. Oleh yang demikian, kesediaan belajar merupakan persiapan-persiapan yang perlu ada sebelum individu itu bertindak iaitu belajar.

       Kesediaan psikomotor pula ialah merangkumi penggunaan keperluan kemahiran dan penyelarasan tulang dan otot aktiviti fizikal. Kesediaan psikomotor pula bermaksud kesediaan seseorang yang mempunyai potensi dan bersedia untuk melakukan tindakan fizikal dalam suatu proses pembelajaran yang baru. Namun demikian, harus diambil kira bahawa kesediaan psikomotor ini adalah berbeza dalam kalangan murid-murid walaupun mempunyai umur yang sama. Hal ini adalah kerana, kesediaan psikomotor ini adalah berkait rapat dengan latihan yang memerlukan kemahiran yang betul dan latihan yang berterusan. Contoh, subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Muzik dalam permainan alat muzik piano. Oleh yang demikian, murid-murid dapat memperbaiki psikomotor mereka dengan latihan yang berterusan sebagai persediaan psikomotor mereka.

      Sebagai rumusannya, seorang guru itu seharusnya tidak memberikan fokus yang sepenuhnya kepada aktiviti mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran sahaja. Guru tersebut haruslah mengetahui tentang pengurusan murid dan mengaplikasikannya kepada setiap murid. 

No comments:

Post a Comment