Topik 14 Pengurusan Alam Pembelajaran

Pengajaran merupakan suatu proses yang merangkumi aktiviti-aktiviti perancangan, pelaksanaan, penilaiandan memberikan maklumbalas. Tujuan pengajaran ialah untuk menyebarkan ilmu pengetahuan atau kemahiran tertentu kepada pelajar. Corak pengajaran banyak berubah mengikut perkembangan semasa. Matlamat pengajaran ialah bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis, berilmu pengetahuan serta berakhlak mulia. Keberkesanan pengajaran dinilai berdasarkan sejauh mana objektif pengajaran dapat dicapai melalui proses pengajaran yang dilaksanakan. Tujuan merancang sesuatu pengajaran ialah untuk memenuhi masa yang diperuntukkan, menepati kehendak objektif, berkesan sepanjang waktu pengajaran dan menarik perhatian dan tidak membosankan. 

       Pelaksanaa PdP mempunyai tiga peringkat iaitu set induksi, penyampaian isi dan penutup. Set induksi merupakan langkah permulaan dalam proses PdP. Guru perlu merancang permulaan pengajaran yang baik yang dapat menarik perhatian dan minat murid. Set induksi mengaitkan pelajaran yang lepas atau dengan pengetahuan sedia ada murid dan jangka masa yang baik bagi set induksi adalah antara tiga hingga lima minit. Bagi penyampaian isi pula, guru perlu menyampaikan isi kandungan sebenar kepada murid. Guru perlu merancang beberapa langkah yang berurutan, disusun dengan baik dengan mencatat anggaran masa yang sesuai. Langkah-langkah yang dirancang ada kaitan dengan objektif yang dicatatkan. Kesimpulannya terbahagi kepada dua iaitu kesimpulan kognitif dan sosial. Kesimpulan bagi kognitif ialah untuk mengukuhkan segala pelajaran yang telah dipelajari. Perhatian diberi kepada isi kandungan penting yang telah dipelajari. Bagi kesimpulan sosial ialah untuk memberitahu pelajar yang mereka sudah berjaya dan penghargaan harus diberikan kepada mereka. 

    Dalam kajian tindakan, guru-guru seharusnya sentiasa bersedia membawa perubahan dan penyesuaian teknik pengajaran demi meningkatkan prestasi mereka. Antara usaha yang boleh dilakukan ialah dengan menjalankan kajian tindakan terhadap keberkesanan aktiviti PdP. Kajian tindakan boleh dijadikan sebagai cara "to investigate questions about their practise and to develop workable aolutions that improve learning by all". Kajian tindakan yang dilakukan bukanlah bertujuan membuat generalisasi melainkan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh guru-guru berkaitan. Tujuan kajian tindakan ialah sebagai refleksi kepada aktiviti PdP yang sedia ada dan amat tertumpu kepada penyelesaian masalah di bilik darjah. Terdapat empat peringkat kajian Tindakan iaitu peringkat tinjauan yang mengenal pasti apakah masalah yang cuba diselesaikan atau proses peningkatan prestasi. Seterusnya ialah peringkat perancangan iaitu merancang apakah tindakan yang ingin dijalankan. Kemudian, peringkat pemerhatian iaitu menjalankan tindakan yang telah dirancang dan yang terakhir ialah peringat renungan di mana murid menjalankan refleksi berkenaan tindakan yang telah dijalankan.

       Kesimpulannya, pengurusan alam pembelajaran ini merupakan salah satu perkara yang perlu dititikberatkan oleh semua guru agar dapat memupuk minat murid untuk belajar. Selain itu, proses pengajaran dan pembelajaran akan dapat berjalan dengan lancar sekaligus dapat meningkatkan pencapaian para pelajar. Kita perlulah membuat persediaan sebaik mungkin serta memahami apa tanggungjawab kita yang sebenar sebagai seorang guru serta perlu menjadi seorang guru yang cekap dalam menjalankan tugasnya.


Sumber Rujukan :

http://anyflip.com/ibsfi/sylk/basic

No comments:

Post a Comment