Pengurusan merupakan proses merancang, mengelola, memimpin dan mengawal daya usaha ahli-ahli organisasi dan menggunakan sumber-sumber lain untuk mencapai matlamat yang ditentukan. (Stoner, 1984). Pengurusan mencakupi bagaimana sumber-sumber seperti kewangan, manusia dan alat-alat digembleng dan digunakan untuk mencapai matlamat organisasi. (Shukur, 1998) Pengurusan juga dianggap sebagai proses pengarahan, penyelarasan dan pengaruh ke atas operasi organisasi untuk mencapai matlamat yang dikehendaki dan prestasi sepenuhnya. Pengurusan bilik darjah pula bermaksud tindakan guru untuk mewujudkan persekitaran yang menggalakkan interaksi sosial yang positif, mewujudkan penglibatan pembelajaran aktif, dan meningkatkan motivasi kendiri murid (Burden 2003).
Antara kaedah pembelajaran yang sering digunakan adalah kaedah berpusatkan guru, berpusatkan pelajar, berpusatkan bahan dan kaedah yang berkaitan dengan pengalaman seseorang. Menurut Ewert, Place dan Sibthorp (2005), kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dikaitkan dengan pengalaman mampu mendedahkan para pelajar kepada pengalaman sebenar berbanding dengan pembelajaran secara teori sahaja. Dalam kaedah ini, guru perlu menguasai proses PdPc. Guru juga mengarah pemikiran dan penglibatan pelajar. Sebagai contoh, dalam aktiviti kuliah, penghafalan, menyalin nota, membuat latihan serta soalan-soalan yang diberi oleh guru.
Kaedah yang seterusnya ialah berpusatkan pelajar. Dalam kaedah ini pelajar mengambil alih sedikit tanggungjawab untuk apa yang diajar dan bagaimana ia dapat mempelajarinya. Dalam strategi ini, murid digalakkan untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti yang dilakukan. Pengajaran dalam kaedah ini dijalankan secara individu atau secara berkumpulan. Kaedah yang terakhir ialah berpusatkan bahan. Guru menggunakan bahan pembelajaran untuk menjalankan pengajarannya. Bahan pembelajaran yang diperlukan akan disusun mengikut kesesuaian perancangan. Dalam kaedah ini, guru berperanan sebagai pembimbing.
Faktor yang mempengaruhi kesediaan belajar ialah dari segi kematangan fizikal. Dalam hal ini, murid perlu berupaya dari segi kognitif, afektif dan kemahiran. Yang kedua ialah faktor untuk mengekalkan perhatian. Murid perlu memberi tumpuan akan pengajaran guru, tumpuan untuk mendengar dan tumpuan minat untuk belajar. Seterusnya ialah dorongan. Murid perlu mempunyai penggerak untuk menimbulkan dan mengekalkan minat untuk belajar. Selain itu, murid perlu bersedia menerima orang lain, prihatin terhadap sekitar dan tidak egosentrik dan murid juga perlu lebih sedia dan yakin untuk belajar sekiranya bahan pembelajaran berkaitan dengan pengalaman mereka.
Kesimpulannya, bagi memastikan setiap gerak kerja dalam proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung dengan lancar aspek yang berkait rapat perlu memainkan peranan yang penting supaya setiap pelajar dapat menerima input yang sebaik mungkin. Bermula dari pengurusan di sekolah sehinggalah memastikan setiap pelajar bersedia untuk menjalani proses pengajaran dan pembelajaran semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing.
Sumber Rujukan :
Abdul Malek Bilal Sidek (1995) Pengurusan Sumber Pengajaran dan Pembelajaran. Kuala Lumpur DarulFikir Z675 A23 1995
No comments:
Post a Comment