Interaksi bermaksud saling tindakan yang berlaku antara sekurang-kurangnya dua pihak. Pelajar perlu digalakkan untuk berinteraksi dengan guru atau rakan yang lain semasa proses PdPc supaya mereka dapat mengalami sendiri proses pembelajaran. Terdapat beberapa jenis interaksi bilik darjah iaitu Interaksi sehala, dua hala, kumpulan, antara kumpulan dan sosial. (Shahabuddin et, al, 2007). Pembelajaran pula ialah proses seseorang pelajar memperolehi sesuatu kefahaman dan mengubah kefahaman atau konsep tertentu yang telah dipelajarinya. Pembelajaran di sekolah sebenarnya mencakupi pelbagai pihak seperti guru, pelajar dan ibu bapa. Oleh itu, interaksi dalam pembelajaran boleh disimpulkan sebagai suatu bentuk komunikasi yang berlaku dalam pengurusan proses belajar yang ruang lingkupnya adalah terdiri daripada sekolah.
Interaksi dalam bilik darjah terbahagi kepada empat iaitu yang pertama ialah interaksi sehala antara guru dengan pelajar. Interaksi ini berkait rapat dengan pendekatan atau strategi yang digunakan oleh guru di dalam pengajarannya. Sebagai contoh, guru mengamalkan pendekatan berpusatkan guru, kaedah kelas, kaedah syarahan, kaedah bercerita atau demonstrasi, interaksi dalam bilik darjah akan menjadi sehala kerana guru yang mengawal segala aktiviti pembelajaran dan pengajaran yang berlaku di dalam bilik darjah. Dalam interaksi ini oelajar tidak berpeluang berinteraksi dengan pelajar lain dan pelajar juga dipaksa menerima ilmu pengetahuan.
Seterusnya ialah interaksi dua hala antara guru dengan pelajar. Interaksi ini dijalankan dengan cara guru bertanya pelajar menjawab atau pelajar bertanya guru menjawab. Dalam interaksi ini, guru menggunakan pendekatan yang berlainan seperti perbincangan atau kaedah induktif, interaksi yang berlaku di dalam bilik darjah bertukar menjadi dua hala. Sebagai contoh, untuk memastikan pelajar kekal aktif, guru boleh mengadakan kaedah menyoal atau kaedah individu. Guru juga boleh memberikan ganjaran untuk menggalakkan penglibatan murid. Oleh itu, perhubungan antara guru dengan murid menjadi rapat disebabkan adanya komunikasi terbuka di dalam bilik darjah.
Selain itu, interaksi yang ketiga ialah interaksi kumpulan. Interaksi ini melibatkan murid-murid. Interaksi ini berlaku apabila terdapat aktiviti berkumpulan contohnya kaedah projek, bermain dan lakonan. Interaksi berkumpulan ini bertujuan untuk menggalakkan penyertaan aktif murid dalam akktiviti yang dijalankan. Kerja-kerja berkumpulan diwujudkan supaya pelajar dapat berinteraksi antara satu dengan yang lain. Tugas guru hanyalah sebagai pemudah cara atau fasilitator. Interaksi ini memupuk nilai positif dalam diri murid dan mampu menjana idea yang berkualiti daripada pelajar. Murid yang takut atau malu juga akan berpeluang berinteraksi dengan rakan-rakan sekaligus dapat menangani masalah malu dan takut dalam diri murid.
Yang terakhir ialah interaksi pelbagai hala antara guru dengan murid dan murid dengan murid. Melalui interaksi ini, hubungan antara guru dengan murid dan murid dengan murid dapat dijaga dan dapat diperketatkan. Dalam interaksi ini, aktiviti PdPc bercorak aktif dan peranan murid digunakan secara optimum. Sebagai contoh, guru menggunakan kaedah-kaedah dan teknik pengajaran seperti simulasi, main peranan, pendekatan kumpulan, kaedah perbincangan, uji kaji, kaedah penyelesaian masalah dan kaedah perbincangan. Dengan itu, interaksi yang berkesan dapat diperoleh dan suasana pembelajaran yang kondusif akan berlaku semasa proses pengajaran dan pembelajaran.
Kesimpulannya, bagi mewujudkan interaksi yang berkesan perlukan komunikasi yang baik yang perlu dititikberatkan. Bercakap tentang komunikasi yang merupakan perkara yang sememangnya amat dekat dengan interaksi di mana ia merupakan proses untuk kita bertutur atau menyampaikan sesuatu kepada orang lain. Justeru itu kita perlu menjaga komunikasi kita dengan orang lain supaya mereka lebih mudah untuk berinteraksi dengan kita.
Sumber Rujukan :
Abdul Malek Bilal Sidek (1995) Pengurusan Sumber Pengajaran Dan Pembelajaran. Kuala Lumpur DarulFikir Z675 A23 1995
No comments:
Post a Comment